Percakapan Laa ilaa ha ilallah

Monday, July 4, 2011

Ihsan datang membawa Ikhlas

Dari Umar r.a, dia berkata, ” ketika kami duduk-duduk disisi Rasulullah s.a.w di suatu hari, tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang memakai baju yang sangat putih dan berambut hitam legam. Tidak nampak padanya tanda-tanda perjalanan jauh dan tidak seorang pun di antara kami yang mengenalnya. Kemudian dia duduk di hadapan Nabi dengan menempelkan kedua lututnya pada lutut Rasulullah s.a.w seraya berkata, ” Ya Muhammad, beritahukan aku tentang Islam!” Maka Rasulullah bersabda, ” Islam adalah engkau bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan, dan pergi haji jika mampu.” Kemudian orang itu berkata, ” Anda benar.” Kami semua hairan, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkannya. Kemudian dia bertanya lagi, ” Beritahukan aku tentang iman!” Lalu baginda bersabda, ” Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari akhirat, serta engkau beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk.” Kemudian dia berkata, ” Anda benar.” Kemudian dia berkata lagi, ” Beritahukan aku tentang ihsan!” Lalu baginda bersabda, ” Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya, maka Dia melihatmu.” Kemudian dia berkata, ” Beritahukan aku tentang hari kiamat ( bila kejadiannya)!” Baginda bersabda, ” Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya.” Dia berkata, ” Beritahukan aku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda, ” jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat seseorang bertelanjang kaki dan dada, miskin, dan pekerjaannya kambing, telah berlumba-lumba meninggikan bangunannya.” Kemudian orang itu pergi, dan aku pun terdiam sesaat. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya, ” Tahukah engkau siapa orang yang bertanya tadi?” Aku berkata, ” Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda, ” Dia adalah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.” [ Hadith Riwayat Muslim]


Hadis diatas sebuah hadis yang menerangkan sedikit sebanyak tentang agama suci iaitu agama Islam. Saya tertarik mengulas tentang ihsan.

” Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya, maka Dia melihatmu.”

Ramai manusia beragama Islam, ramai yang beragama Islam mempunyai iman. Namun berapa ramai umat Islam yang beriman ini memiliki sifat ihsan dalam diri mereka? Seperti yang dijelaskan dalam hadis diatas, ihsan lebih kepada keyakinan dalaman kita bahawa Allah sedang melihat ibadah yang kita lakukan. Jika kita boleh mengetahui Islam atau tidak seseorang itu melalui kad pengenalannya, ia berbeza dengan iman dan juga ihsan. Iman dan ihsan ini lebih bersifat dalaman dan tidak dapat diperhati dengan mata kasar.

Maka, yang bersifat dalaman ini sukar dijaga sesetengah manusia, kerana sesetengah manusia suka apabila perbuatan mereka diketahui manusia. Ramai yang cenderung menjadi baik hanya bila dihadapan orang lain. Ramai yang cenderung menunjukkan akhlak yang baik dihadapan naqib dan naqibah, namun menjadi sebaliknya apabila bersendirian di rumah. Ramai yang cenderung menunjukkan sikap yang baik dihadapan guru dan rakan namun menjadi sebaliknya apabila bersendirian di rumah. Hal ini berlaku kerana tiadanya sifat ihsan dalam diri. Sedangkan ketika bersendirian itu, sememangnya tiada manusia yang melihat kejahatan yang kita lakukan, tetapi Allah Azza Wajallah yang Maha Menghitung tetap akan melihat perbuatan kita.

Ketika bersendirian inilah, sifat ihsan kita benar-benar teruji.

Sifat ihsan ini datangnya membawa sekali sifat ikhlas dalam diri kita. Ia datang dalam satu pakej. Dimana ikhlas itu adalah rahsia, malah kita juga tidak tahu bagaimana ikhlas ini dihitung. Begitu juga sifat ihsan ini. Bukan mudah mendidik diri bersifat ihsan. Bukan mudah untuk kita melakukan sesuatu dalam waktu yang sama kita merasa ada yang melihat perbuatan kita sedangkan kita tidak dapat melihat-Nya dengan mata kasar kita.

Disini dalaman kita teruji, disini hati kita diuji, disini keimanan kita teruji. Betapa sukar kita rasa untuk bersifat ihsan ini, sesukar itulah sebenarnya mujahadah kita dalam usaha menjejaki syurga Allah yang menjanjikan nikmat diluar bayangan kita.

Lantas ia bergantung kepada keimanan kita untuk memilih. Adakah ibadah kita selama ini adalah hanya kita tunjuk dihadapan manusia, atau ketika melakukan ibadah itu kita benar-benar membayangkan Allah sedang melihat kita.

Disini mari kita muhasabah kembali. Adakah manusia yang menghitung amal perbuatan kita? Sejauh mana manusia dapat tahu tentang sesuatu yang ada dalam diri manusia lain sedangkan ilmu pengetahuan manusia itu terlalu sedikit untuk dibandingkan dengan ilmu pengetahuan Allah s.w.t.

” Allah yang menciptakan tujuh langit dan dari (penciptaan) bumi juga serupa. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawa Allah Mahakuasa atas segala sesuatu, dan ilmu Allah benar-benar meliputi segala sesuatu.” [ At-Talaaq 65: 12]

” Dan seandainya pohon-pohon dibumi menjadi pena dan lautan (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh lautan (lagi) setelah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat-kalimat Allah ( ilmu-Nya dan hikmah-Nya). Sesungguhnya Allah Mahaperkasa, Mahabijaksana.” [ Surah Luqman 31:27]

Sesungguhnya ilmu Allah itu meliputi segala sesuatu, maka kita yang punya secetek-cetek ilmu ini harus tunduk patuh kepada Allah s.w.t. Kebaikan yang kita lakukan bukan untuk ditunjuk-tunjuk, jauh sekali mengharap pujian manusia lain. Tapi, solat kita untuk mendapat redha-Nya, puasa kita juga untuk redha-Nya, sedekah kita untuk redha-Nya, pendek kata segala kebaikan adalah untuk redha-Nya. Ketika melakukan sesuatu, yakinlah bahawa Allah sedang melihat kita, Allah sedang menghitung kita, maka kita pasti akan takut melakukan kejahatan ataupun maksiat, dan kita pasti akan rasa seronok melakukan kebajikan kerana Allah suka kepada hamba-Nya yang melakukan kebajikan.

Pokok pangkalnya adalah segala-galanya haruslah kerana Allah s.w.t.

Saya yang berhajat untuk memupuk sifat ihsan ini dalam diri saya.

Selamat beramal.

Insha Allah, berhasil.

No comments: